Tiong salur sumbangan kepada Hospital Bintulu
BINTULU: Sebagai tanda prihatin dan sokongan kepada pihak Hospital Bintulu yang merupakan barisan hadapan menangani wabak COVID-19, Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing menyalurkan sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada hospital berkenaan.
Sumbangan termasuk topeng muka dan peralatan pembedahan, perisai muka dan stoking pembedahan diserahkan Tiong sendiri kepada Pengarah Hospital Bintulu, Dr Davis Johnraj.
Beliau berharap sumbangan itu dapat meringankan beban pihak Hospital Bintulu dalam usaha membendung wabak COVID-19.
"Kita bersedia menyalurkan bantuan lain sekiranya diperlukan, pihak Hospital Bintulu boleh berhubung terus bagi mendapatkan bantuan,"katanya.
Dalam pada itu, Pusat Khidmat Parlimen P.217 Bintulu mula mengagihkan bantuan barangan keperluan asas kepada golongan memerlukan di kawasan itu.
Bantuan berupa beras, minyak masak, makanan dalam tin, biskut, kopi, teh dan sebagainya itu bagi meringankan beban masyarakat di kawasan Parlimen Bintulu yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa sekarang.
Tiong berharap sumbangan yang diberikan itu secara tidak langsung membantu dalam meringankan beban setiap keluarga yang tidak dapat keluar bekerja sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.
