Tragedi selepas hantar bantuan makanan
JULAU:Nasib malang menimpa seorang petugas penghantar bantuan makanan apabila lemas setelah bot panjang yang dinaiki bersama dua rakannya karam di Nanga Senyuruk, Ulu Ensiring, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 5 petang itu,mangsa yang lemas dan masih hilang dikenali Mazian Seliong, 35, manakala dua lagi rakannya selamat dalam kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Ismuni Umar berkata, ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan balik menghantar bantuan makanan dari Sungai Nilau, Ulu Julau dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan.
"Kita menerima laporan berhubung kes ini jam 10.37 pagi tadi,seorang daripada penumpang dipercayai telah lemas dan hilang,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya,pasukan Polis,Bomba dan penghuni rumah panjang kawasan terbabit telah melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
Sehingga petang ini mangsa masih gagal ditemui.
