10 RRD patah cubaan seludup barangan terkawal
KUCHING:Pasukan Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja (10 RRD) berjaya mematahkan satu
cubaan menyeludup barangan terkawal di Tebedu malam tadi.
Semasa operasi dilaksanakan, sebuah kereta SUV Wolkswagen Toureg dan sebuah
lori 1 Tan yang mencurigakan bersama sekumpulan warga Indonesia dilihat datang
dari arah Malaysia dalam perjalanan menuju ke sempadan Indonesia,kira-kira 600 meter dari
Sempadan Malaysia/Indonesia),jam 7.30 malam.
Jurucakapnya berkata,anggota telah bertindak menahan kenderaan tersebut dan membuat pemeriksaan
pada lori dan kumpulan warga Indonesia.
"Hasil pemeriksaan menemui muatan yang
penuh dengan bekalan makanan asas yang cuba diseludup keluar dari Malaysia.
"27 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang terdiri daripada 20 lelaki dan 7 perempuan bersama empat warga tempatan yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan didapati melaksanakan aktiviti penyeludupan barang ke Indonesia dari
Malaysia melalui laluan yang tidak sah,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kesemua 27 orang PATI, empat warga Malaysia,sebuah lori Hino 1 Tan, sebuah Kereta
Wolkswagen Toureg dan sebuah motosikal Honda Wave tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
pada jam 8 malam dan laporan polis telah dibuat untuk tindakan
selanjutnya.
"Senarai barangan yang ditahan dalam tangkapan tersebut adalah seperti
bawang, sosej, maruku ikan, daging beku, tong Racun dan wang tunai berjumlah
RM 27,500.00.
"Nilai keseluruhan adalah RM 169,154.65 termasuk lori 1 tan,
kenderaan kereta dan motosikal,"katanya.
Katanya,
melihat kepada perkembangan semasa penularan wabak COVID-19 di Sarawak dan
Kalimantan, pihak ATM senantiasa berwaspada dan siap- sedia dalam menangani
sebarang ancaman terutama isu jenayah rentas sempadan dan penyeludupan barangan terkawal.