300,000 keahlian PKN seluruh negara
KUCHING:Penggerak Komuniti Negara (PKN) mempunyai keahlian hampir 300,000 di seluruh negara pada masa ini.
Ketua Penerangan, PKN Wilayah Sarawak, Leslley Kalom berkata,setakat ini sebanyak 198 Jawatankuasa Parlimen PKN telah ditubuhkan di seluruh negara dan berdasarkan kawasan Parlimen.
"Matlamat dan fokus asal PKN dari awal adalah untuk membantu golongan yang kurang berpendapatan seperti golongan B40, miskin bandar dan juga kumpulan sasar yang termaktub di dalam Dasar Komuniti Negara,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya,seperti negeri - negeri lain, Sarawak tidak ketinggalan dan setakat ini telah berjaya menubuhkan 16 Jawatankuasa Parlimen PKN iaitu Petra Jaya, Santubong, Kota Samarahan, Batang Sadong, Stampin, Miri, Lubok Antu, Bintulu, Tanjong Manis, Kapit, Sarikei, Betong, Puncak Borneo, Saratok, Sibu dan Igan.
"Sebanyak 15 Jawatankuasa Parlimen lagi akan kita tubuhkan dalam masa yang terdekat,"ujarnya.
Katanya,fokus utama PKN sebagai sebuah NGO adalah bagi membangunkan aspek ekonomi, sosial, pendidikan dan pengukuhan jati diri yang padu dalam kalangan masyarakat.
"Secara rasminya, ia selaras dengan Dasar Komuniti Negara yang telah dilancarkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,Zuraida Kamaruddin, pada 17 Februari 2019,"jelasnya.