Debak tenggelam lagi
DEBAK: Debak menangis lagi. Kali ini musibah banjir melanda penduduk apabila sebilangan besar rumah penduduk di Kampung Melayu ditenggelami air.
Musibah yang sering melanda setiap kali musim pasang besar disusuli hujan lebat menyebabkan berlaku banjir adalah trauma penduduk Debak.
Namun penduduk hanya mampu berserah selain melihat dengan genangan air mata menyaksikan barangan mereka yang tidak sempat diselamatkan terapung dan musnah akibat ditenggelami air.
Penduduk kampung, Azman Mantaril berkongsi pengalaman sedih apabila penduduk masing-masing kecewa dengan keadaan yang sering berlaku apabila air pasang besar ditambah dengan hujan lebat yang berlaku pasti akan berlakunya musibah banjir.
"Inilah yang akan berlaku setiap kali pasang besar disusuli hujan dikhuatiri akan berlaku musibah sehingga menjejaskan penduduk sekitar Debak di sini.
"Penduduk hanya mampu melihat air mendadak naik dan rutin memindahkan barangan ditempat tinggi dan menyaksikan rumah dipenuhi air.
"Kami tidak dapat mengelak daripada berlakunya keadaan sebegini yang terpaksa kami alami," ujarnya.
Antara kawasan yang terjejas banjir ialah Kampung Bungey, Kampung Lalang dan Kampung Babu Debak.
Sementara itu pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Betong telah dikerah ke lokasi bagi membantu penduduk yang terjejas.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah(PPAD) Betong, Kapt(PA) Usman Harto, paras air sungai meningkat disebabkan hujan lebat sejak semalam, Jumaat dan bertembung dengan air pasang besar menyebabkan musibah berlaku.
"Paras air sungai Rimbas yang mendadak naik telah menyebabkan kawasan dalam rumah dan jalan raya dinaiki air sedalam Dua hingga tiga kaki.
"Anggota kami bertindak membantu memindahkan barangan mangsa ketempat tinggi," katanya.
Walau bagaimanapun cadangan pemindahan mangsa juga akan dilakukan jika perlu bagi mengelak sebarang kemungkinan.
Perkara itu masih dalam perbincangan bersama pemimpin Kampung dan pihak berwajib.
