Soon Koh persoal bayaran RM 2 bilion Petronas
KUCHING: Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Dato Sri Wong Soon Koh mempersoal bayaran sejumlah RM 2 bilion Petronas kepada Kerajaan Sarawak untuk cukai jualan lima peratus minyak dan gas tahun lalu yang dicapai melalui kata sepakat kedua-dua pihak menyelesaikan isu itu di luar mahkamah.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak juga bersetuju untuk mengurangkan cukai jualan lima peratus secara berperingkat-peringkat.
"Saya telah menyatakan di dalam kenyataan akhbar sebelum ini bahawa belanjawan Kerajaan Sarawak untuk 2019 dibuat berdasarkan hasil pendapatan daripada cukai minyak dan gas berjumlah RM3.897 bilion yang tidak terlaksana.
"Untuk tahun 2020,Kerajaan Sarawak menyediakan belanjawannya berdasarkan hasil pendapatan yang dijangkakan sebanyak RM2.878 bilion dari cukai minyak dan gas sebanyak lima peratus yang juga tidak terlaksana,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata,cukai minyak dan gas yang dijangkakan bagi tempoh dua tahun itu berjumlah RM6.775 bilion.
"Sekarang kita dapati bahawa Kerajaan Sarawak terpaksa berpuas hati dengan jumlah yang telah dikurangkan dengan ketara sebanyak RM2 bilion sahaja dan bukannya RM6.775 bilion.
"Ini bermakna kekurangan sebanyak RM4.775 bilion dalam pendapatan yang dijangkakan di dalam belanjawan bagi dua tahun tersebut,"ujarnya.
Katanya, Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Negeri mesti menjelaskan kepada rakyat bagaimana kerajaan akan menampung defisit belanjawan untuk 2019 dan 2020 ekoran penurunan besar dalam pendapatan (RM2 bilion) berbanding apa yang mereka jangkakan sebanyak RM6.775 billion.
"Jumlah sebanyak RM4.775 bilion mesti datang dari sumber tertentu untuk menampung kekurangan dan kita mesti dimaklumkan tentang sumber tersebut.
"Pada waktu yang sama, terma penyelesaian menyebut tentang pengurangan kepada cukai minyak dan gas sebanyak lima peratus 'secara berperingkat-peringkat'.Kita berhak untuk tahu berapa banyak cukai jualan yang akan dikurangkan dan dalam tempoh berapa lama,"tegasnya.
Beliau turut mempersoalkan selepas memenangi kes itu, kenapa kerajaan negeri menyetujui konsesi ini yang memihak kepada Petronas?
"Kita juga mempersoalkan kenapa kerajaan memilih untuk bersetuju memberi diskaun yang begitu tinggi sebanyak RM4.775 bilion ke atas cukai jualan walaupun sudah memenangi kes itu di Mahkamah Tinggi.
"Adakah Ketua Peguam Negeri sudah menasihati kerajaan bahawa ia adalah kes yang lemah dan tidak dapat mengambil risiko di Mahkamah Rayuan,"katanya.
Menurutnya lagi,apa yang jauh lebih mengejutkan ialah bahagian terakhir bagi penyelesaian itu di mana kerajaan negeri berkata 'semua perjanjian sebelum ini di antara kedua-dua pihak yang dimeterai di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (Akta 144) adalah masih sah dan boleh dilaksanakan dan Petronas masih diiktiraf sebagai mempunyai pemilikan penuh dan kuasa ke atas pembangunan minyak dan gas negara, selari dengan Perlembagaan Persekutuan'.
"Jika kenyataan itu betul, maka kerajaan Sarawak sudah melepaskan haknya untuk mencabar Akta Pembangunan Petroleum (Akta 144) walaupun kerajaan GPS telah menegaskan bahawa PDA adalah tidak sah ketika kerajaan Pakatan Harapan memegang kuasa.
"Memandangkan perikatan GPS adalah sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional, adakah ia sudah menamatkan perjuangan bagi hak Sarawak untuk mencabar PDA,"katanya.
Katanya,adalah wajar diambil kira bahawa parti-parti GPS sangat senyap tentang perjuangan untuk memulihkan hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 sejak mereka menyertai kerajaan Perikatan Nasional.
