Dr Sim ulangi amaran patuhi kuarantin

KUCHING: Semua pelajar yang telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah diminta untuk terus berada di rumah dan tidak dibenarkan keluar.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Hui Kian berkata, jika mereka didapati berada di tempat awam, pihak berkuasa akan mengambil tindakan di bawah Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam 1999 iaitu:

"Perlindungan Kesihatan Awam (Langkah-langkah Melaksanakan Kegiatan di Kawasan Tempatan yang dijangkiti) Arahan (No.2) bertarikh 13 Mei 2020 seperti berikut;

"Di bawah Seksyen 15(1), mana-mana orang mungkin diminta untuk mematuhi sebarang langkah ditentukan oleh menteri untuk tujuan pemantauan pergerakannya di dalam negeri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, di bawah Seksyen 15(2) ordinan sama, Langkah-langkah (1) mungkin merangkumi penggunaan penanda elektrik atau cara lain seperti yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Dr Sim menambah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) bersama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meningkatkan keupayaab pasukan penjejakan kontak untuk membolehkan mereka dapat mengesan dengan secepat mungkin kontak rapat kepada kes positif yang baru.

JPBNS turut menggesa pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang balik ke rumah baru-baru ini dan belum menjalani saringan COVID-19 berbuat demikian di bahagian masing-masing.

"Mereka akan dihubungi oleh JPBB," kata Dr Sim lagi dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu telah tular satu hantaran di Facebook bertarikh 24 Mei, seorang pelajar I-System College di Kuching didapati positif COVID-19 kira-kira jam 4.30 petang.

Menurut hantaran itu, pelajar perempuan itu pada 12 Mei telah balik ke Belawai dari Kuching dan diletakkan dibawah Perintah pengawasan bagi (kuarantin di rumah) kes PUI Covid 19 Dibawah Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 ( Akta 342) bermula pada 12 Mei sehingga 25 Mei 2020.

"Walaubagaimanapun hasil ujian calitan adalah positif Covid 19. Pihak KKM telah datang ke rumah subjek dan membawanya ke Hospital Sibu menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut."

Pihak KKM masih dalam usaha untuk mengesan kontak rapat subjek di kawasan Kampung Lot, Fasa 1, Belawai.
LihatTutupKomentar
Cancel