Uggah dan Masing tegaskan larangan ngabang
KUCHING - Amalan ngabang dari rumah ke rumah, atau antara rumah panjang ke rumah panjang tidak dibenarkan.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keputusan itu dicapai semasa Mesyuarat Khas hari ini.
Sebelum ini, semasa sidang media harian COVID-19, beliau mengumumkan Hari Gawai dibenarkan disambut sehari sahaja dengan kapasiti 20 ahli keluarga dan jiran terdekat.
“Selain itu aktiviti tidak dibenarkan semasa perayaan ialah perjalanan balik ke kampung melibatkan pergerakan antara daerah. Aktiviti ngabang ke rumah saudara, sahabat handai dan rumah terbuka.”
“Ia merupakan prosedur operasi standard (SOP) menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak,” katanya sambil menambah pematuhan SOP ini amat penting.
Sebelum ini, Uggah memohon maaf kepada rakyat Sarawak kerana membuat keputusan larangan ngabang namun ia perlu untuk membantu usaha memutuskan rantaian wabak COVID-19.
Seminggu menjelang Gawai Dayak, larangan itu semestinya mendapat reaksi penduduk tempatan.
Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing berkata, larangan ngabang semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak bertentangan dengan etika upacara Iban.
“Larangan ngabang tidak bertentangan dengan adat kaum Iban, cuma ia mengurangkan kemeriahan, itu sahaja.”
“Manakala upacara miring sempena Gawai juga sangat bersifat persendirian. Setiap keluarga atau bilik boleh melakukan miring dibilik masing-masing,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya, miring juga bersifat spesifik dan tertumpu untuk kepentingan keluarga itu sendiri.