Empat maut kereta bertembung treler di Pekan
KUANTAN, 28 Mei (Bernama) -- Empat lelaki, termasuk tiga dipercayai warga Indonesia, maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung sebuah treler di Kilometer 6 Jalan Chini-kuantan di Pekan dekat sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintenden Kamarulzaman Jusoh berkata kemalangan dipercayai berlaku pada 12.30 tengah hari tadi dan setakat ini, identiti semua mangsa yang menaiki kereta Proton Wira itu belum dikenal pasti.
Beliau berkata pemandu kereta, yang dipercayai warga Indonesia, parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk rawatan.
"Kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta itu yang dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Chini hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan treler.
"Siasatan awal mendapati kereta itu telah memotong beberapa buah kenderaan sebelum hilang kawalan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kamarulzaman berkata impak kemalangan menyebabkan pemandu kereta tercampak keluar manakala empat penumpang yang maut ditemui tersepit dalam kenderaan itu.
Pemandu treler yang berusia 45 tahun dan berasal dari Felda Chini, Pekan pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat yang akan dijalankan selepas memperoleh keputusan ujian saringan COVID-19.
-- BERNAMA
Kredit gambar Info Semasa Official