Enam ditahan bergaduh punca daripada mercun - polis

KOTA BHARU, 28 Mei (Bernama) -- Polis menahan enam individu berusia antara 13 hingga 47 tahun akibat bergaduh dipercayai berpunca daripada mercun berdekatan Wakaf Che Yeh di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata individu yang ditahan termasuklah tiga beranak serta pekerja kedai makan berhampiran.

Berdasarkan maklumat, pergaduhan tercetus pada 8 malam apabila seorang remaja dikatakan bermain mercun dan hampir terkena pekerja di kedai makan berdekatan yang membawa kepada pertengkaran dan pergaduhan antara dua kumpulan, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.

“Ada pihak dikatakan menampar pihak yang satu lagi dan membaling barangan sehingga mendatangkan kecederaan. 

Kesemua mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mengkhianat," katanya.

Video pergaduhan berdurasi 1.37 minit itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.

Jika disabit kesalahan, Seksyen 148 memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya manakala Seksyen 427 membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel