Gawai sehari, Ngabang Gawai tidak dibenarkan
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mengulangi Sambutan Hari Gawai hanya disambut sehari sahaja.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi JPBN Datuk Douglas Uggah berkata, sambutan Hari Gawai, Ngabang Gawai dari rumah
ke rumah dan rumah Panjang ke rumah Panjang tidak dibenarkan.
"Tetapi bagi upacara ritual seperti miring adalah dibenarkan," katanya pada sidang media hari ini.
Semalam, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak JPBNS melarang 'Ngabang' Gawai atau berkunjung rumah ke rumah tidak bertentangan etika ritual Iban.
Beliau berkata langkah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkenaan wajar dan penting bagi memutuskan rantaian COVID-19.
“PKPB yang melarang kunjungan semasa Gawai tidak bertentangan dengan etika ritual Iban.
"Ianya hanya mengurangkan sedikit kemeriahan aktiviti yang mengiringi perayaan keagamaan tersebut," katanya.
Masing pada masa sama meminta masyarakat iban yang berhasrat amalkan upacara 'miring' untuk melakukannya itu di bilik masing-masing.
"Upacara seperti 'miring' adalah ritual yang sangat individualistik di mana setiap keluarga diminta untuk berikan sesuatu kepada dewa sebagai pertukaran kepada pertolongan," ujarnya.