Hotel pusat kuarantin tidak boleh terima tetamu
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, arahan berkenaan dikeluarkan meskipun industri berkenaan diberi lampu hijau beroperasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai semalam.
“Semua hotel dan rumah penginapan di Sarawak dibenarkan beroperasi di bawah PKPB mulai 12 Mei lalu.
“Bagaimanapun, hotel yang diwartakan sebagai stesen kuarantin Covid-19 tidak dibenarkan beroperasi sehingga ia diangkat pada masa sesuai,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Karim berkata, pihak pengurusan hotel harus mematuhi SOP seperti penjarakan sosial antara tetamu serta menyediakan pensanitasi tangan.
Katanya, kemudahan seperti gimnasium, kolam renang, bilik sembahyang, sauna, spa, pusat perniagaan, dewan persidangan dan bilik mesyuarat tidak dibenarkan untuk digunakan.
“SOP lain seperti setiap pekerja dan tetamu harus menggunakan pelitup muka sentiasa serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak kesihatan,” ujarnya sambil menambah pihak pengurusan hotel boleh membuat aduan kepada Jabatan Kesihatan sekiranya terdapat tetamu yang dijangkiti Covid-19 dengan kadar segera.
Menurutnya, restoran dan kafeteria di dalam hotel dibenarkan beroperasi dari jam 7 pagi hingga 10 malam untuk pembungkusan makanan, penghantaran, perkhidmatan bilik dan makan ala carte sahaja.
"Tetamu dikehendaki kekal di bilik masing-masing dan tidak dibenarkan berkumpul di sebarang tempat di dalam premis hotel. Manakala, hidangan secara buffet adalah tidak dibenarkan," kataya.
Sebarang pertanyaan mengenai operasi hotel semasa PKPB boleh didapati dengan memuat turun mtac.sarawak.gov.my.