Jangan balik guna jalan tikus, MB Kelantan
KOTA BHARU, 19 Mei -- Anak Kelantan di rantauan dinasihati tidak guna ‘laluan tikus’ untuk pulang beraya di kampung susulan larangan perjalanan rentas negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata perbuatan sedemikian hanya mendedahkan kaum keluarga di kampung terhadap jangkitan COVID-19.
“Ada sanggup menggunakan 'laluan tikus' semata-mata untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitiri di kampung,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Mengenai kepulangan pelajar institusi pengajian tinggi ke Kelantan, beliau berkata setakat ini tiada kes COVID-19 melibatkan pelajar terbabit..
“Kita berharap agar rakyat patuh prosedur operasi standard terutamanya jarakan sosial," katanya.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Muhammad Sanusi Md Nor yang dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang ke-14 pada Ahad lepas.
-- BERNAMA