Kerajaan biayai hotel Anak Sarawak
KUCHING: Kerajaan negeri akan terus membiayai warga Sarawak yang menjalani kuarantin di hotel bagi COVID-19, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata, kerajaan tidak mengenakan bayaran kecuali rakyat asing yang memang dikenakan caj atau bayaran sendiri.
"Mungkin di Kuala Lumpur ada bayaran tetapi sehingga kini di Sarawak, kerajaan negeri akan membayar sepenuhnya bagi rakyat kita.”
"Malahan di Sarawak pada mulanya para pelajar yang pulang ke negeri ini dicadangkan di kuarantin di bangunan asrama yang ditetapkan namun Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg telah mengarahkan agar mereka dikuarantin di hotel untuk keselesaan, dan ini juga kita tanggung sepenuhnya," katanya dipetik dalam Utusan Borneo semasa sidang media perkembangan COVID-19 di sini, semalam.
Uggah memberikan jaminan ini susulan daripada pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa bermula 1 Jun ini, individu yang memasuki pintu masuk negara akan dikenakan caj kuarantin hotel.
Ismail Sabri berkata caj 100 peratus daripada kadar bayaran hotel dikenakan kepada bukan warganegara manakala 50 peratus bagi warganegara.
Dalam perkembangan lain, Uggah memberitahu pihaknya telah mengambil tindakan terhadap beberapa premis makanan yang beroperasi tanpa mematuhi tatacara pengendalian piawaian (SOP).
“Terdapat premis diberi nasihat diikuti pemantauan pihak polis. Bagi premis yang tidak dapat beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mereka dinasihat tidak dibuka.”
“Manakala yang beroperasi sila patuh SOP. Ini penting kerana ia bukan sahaja menjaga diri sendiri tetapi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 secara keseluruhan,” kata Uggah.
Uggah turut mengulangi pendirian kerajaan untuk melaksanakan larangan rentas daerah.
Berbeza dengan Semenanjung katanya, mereka mungkin tidak boleh rentas negeri tetapi boleh rentas daerah.
“Di Sarawak, rentas daerah adalah dilarang dan ia telahpun diwartakan sebelum ini,” katanya.