Air Ketum untuk juadah berbuka puasa
Mersing, 20 Mei 2020- Pasukan Polis Marin (PPM) Mersing dalam tugas Op Benteng Covid 19 (bersepadu) bersama BSJND IPD Mersing menjalankan rondaan sekitar kawasan Mersing Kanan hingga Kg Teluk Buih, pasukan ini telah terserempak dengan 1(L)(M) berumur 23 tahun berjalan menuju ke arah sebuah kereta proton wira jenis saloon berwarna hitam dengan membawa 1 beg plastik disyaki mengandungi air ketum ketika berada di Jalan Dato Onn. Suspek berjaya ditahan bersama bungkusan tersebut manakala suspek yang berada di dalam kereta melarikan diri.
Hasil pemeriksaan awal dan soal siasat, suspek telah membawa dan menunjukkan tempat simpanan air ketum di sebuah rumah tidak jauh dari lokasi tangkapan. Pemeriksaan telah menemukan sebanyak 38 bungkus air ketum dan 1 beg plastik hitam daun ketum. 1(P)(M) berumur 25 tahun turut ditahan dalam rumah tersebut kerana disyaki terlibat sama dengan penjualan air ketum.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah (2) Johor, YDH ACP Tuan Hj Abdul Rahman Bin Mohamed berkata Pasukan Polis Marin sentiasa mengadakan operasi bersama lain - lain cawangan di dalam PDRM bagi memastikan setiap operasi yang dijalankan berkesan dan berjaya. Bagi kes rampasan air ketum dan daun ketum ini akan disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 (Pindaan 2003). Untuk tempoh PKPB ini, orang awam dinasihatkan agar mematuhi semua arahan yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid 19. Kerjasama dari orang awam amat diperlukan untuk memberi sebarang maklumat kepada pihak polis. Semua maklumat boleh disalurkan ditalian 07 2372222.
- Pasukan Polis Marin Wilayah Dua
@infosemasaofficial