Pemandu SUV akhirnya serah diri
KUCHING: Pemandu kenderaan utiliti Honda CRV yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di Jalan Star Garden, di sini, malam tadi telah membuat laporan polis, bukannya melarikan diri seperti yang didakwa.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, lelaki berusia 49 tahun yang merupakan seorang peniaga telah membuat laporan polis berhubung kemalangan itu jam 9.08 pagi ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
Menurutnya, pada jam 8 malam tadi satu kemalangan jalan raya melibatkan SUV Honda dengan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss berlaku di Jalan Star Garden.
"Pelanggaran berlaku semasa pemandu SUV Honda CRV seorang diri dari arah Jalan Green membelok ke kanan memasuki persimpangan Jalan Star Garden untuk balik ke rumahnya lalu berlanggar dengan sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan.
"Pemandu SUV tidak mengalami kecederaan manakala penunggang motosikal berusia 21 tahun bekerja sebagai Pengawal Keselamatan yang luka di tangan dan paha sebelah kiri dihantar ke Hospital Umum Sarawak(HUS) untuk mendapat rawatan,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, akibat kemalangan itu
jip mengalami kerosakan pada bahagian depan sebelah kiri manakala motosikal rosak pada bahagian depan, kemalangan dipercayai berpunca dari pemandu SUV.