Bayaran Petronas pengiktirafan hak Sarawak, Dr Sim
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dr Sim Hui Kian berkata, ini bermakna Petronas sudah mengikuti langkah syarikat multi nasional yang lain seperti Shell dan Murphy yang sejak awal mengiktiraf kuasa perlembagaan Sarawak ke atas produk petroleum.
Dr Sim berpandangan, SST telah wujud sejak 1998 namun tidak pernah dipinda untuk memasukkan produk petroleum sehingga 2018 selepas Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memegang jawatan Ketua Menteri.
“Tidak, harga minyak dan gas di Sarawak tidak pernah meningkat sebagaimana yang digembar-gemburkan ahli politik veteran (yang perangai tidak pernah berubah sejak November 2018). Namun Sarawak mendapatkan lebihan pendapatan sebanyak RM3 bilion pada 2019.”
“Perlu diketahui juga, kadar 5 % yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan hanya DUN mempunyai kuasa untuk meluluskan pengurangan atau penambahan kadar yang dikenakan,” tulis Sim dalam satu hantaran di Facebook.
Tambahnya, ia harus dianggap sebagai pengiktirafan kepada hak Perlembagaan Negeri untuk mengenakan SST terhadap produk petroleum dan ia diterima oleh penghakiman Mahkamah Tinggi, yang menyatakan Sarawak mempunyai kuasa Perlembagaan mengenakan SST.
Beliau berpandangan, OMO sudah sedia wujud sejak 1958 sebelum pembentukan Malaysia pada 1963.
“Maka tiada apa tindakan Parlimen Malaysia selepas 1963 dapat membatal atau mengganti OMO melainkan dengan persetujuan Sarawak.”
“Malah peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menegaskan bahawa mana-mana undang-undang yang menyentuh hak negeri hanya boleh digunakan dan sah di Sarawak selepas diluluskan di peringkat Dewan Undangan Negeri,” katanya sambil menambah sebahagian dokumen dan laporan perkara ini tersimpan di perpustakaan SUPP.
“Pandangan saya ini adalah berdasarkan pemahaman saya sebagai seorang pengamal perubatan bukan seorang peguam. Saya percaya terdapat penyelesaian saksama berkaitan kuasa autonomi di negeri ini seperti pendidikan, cukai dan kesihatan,” katanya.
Sementara itu peguam terkemuka, Shankar Ram Asnani berkata, persetujuan Petronas untuk membayar SST ini adalah untuk kepentingan dan kebaikan rakyat negeri ini.
Shankar menambah, sebagai seorang pengamal undang-undang, pujian harus diberikan kepada Abang Johari dan pasukannya dalam memperjuangkan 5%s SST.
“Kita harus faham bahawa beliau yang pertama kali membawa Petronas ke mahkamah berhubung hak Perlembagaan Malaysia 1963 (MA63).”
“Maka tiada asas untuk membidas tindakan beliau yang terbukti sudah melakukan tugas dengan cemerlang. Bayangkan jika beliau tidak berbuat apa, kita tidak mendapat sesen jangankan tambahan 5% SST,” katanya.
Jumlah Ini jauh lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa, katanya.