Limbang dari Kuning ke Hijau
KUCHING: Bahagian Limbang telah bertukar status dari Zon Kuning kepada Zon Hijau kerana tidak mencatatkan sebarang kes positif Covid-19 terbaharu dalam tempoh 14 hari.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tiada kes positif Covid-19 dilaporkan di Sarawak hari ini.
Menurutnya, pihaknya menerima enam kes sembuh dan discaj dari hospital iaitu empat kes Hospital Umum Sarawak dan satu kes masing-masing dari Hospital Sibu dan Hospital Miri.
"Secara keseluruhan kes sembuh iaitu 543 kes, 69.06 peratus kes positif Covid-19," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini.
Uggah yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata, bilangan individu dalam siasatan (PUI) adalah sebanyak 94 kes.
Beliau berkata, PUI yang masih menunggu keputusan ujian adalah sebanyak 23 kes.