Pemuda baiki jambatan sementara tunggu WaiBi
KUCHING, 29 Mei: Bimbang keselamatan orang ramai yang mengunakan jambatan berlubang di Kampung Gita Lama menyebabkan seramai 10 pemuda kampung terbabit bersepakat membaiki segera jambatan itu semalam.
Seorang pemuda terbabit, Zamari Bujang, 48 berkata mereka bertindak segera membaiki jambatan uzur terbabit dan tidak menunggu pihak lain membaikinya kerana lubang berkenaan sudah amat merbahaya kepada penguna kenderaan malahan juga kanak-kanak.
"Malahan pagar tepi jambatan terbabit juga sudah banyak yang roboh. Maka selain membaiki lubang dan pagar jambatan itu ada juga kalangan pemuda kampung yang ikhlas menyumbangkan simen bagi menjalankan kerja itu,"katanya kepada GagoDaily.
Zamari berkata sambil menjaga jarak sosial lebih dari 1 meter dan memakai topeng muka, mereka telah mengambil masa selama empat jam menjalankan kerja pembaikian jambatan itu yang penting bagi menghubungkan Kampung Gita Lama dengan Kampung Sungai Maong Baru.
Beliau berkata pihaknya khuatir sekiranya meminta pihak lain membaiki jambatan itu, kemungkinan ini hanya akan mengambil masa yang lama berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.
"Kami khuatir sekiranya di malam hari ada yang akan tersilap langkah mengunakan jambatan uzur ini. Jadi sebelum terjadi sebarang kejadian buruk, kami sebagai pemuda kampung berusaha membaikinya,"katanya dan ini juga sementara menunggu bantuan dan peruntukan dari pihak berwajib bagi menjalankan kerja pembaikian jambatan dengan lebih menyeluruh.
tamat
keterangan gambar:
1. Antara pemuda Kampung Gita Lama yang menjalankan kerja pembaikian jambatan berlubang di kampung mereka sambil menjaga jarak sosial.
2. Kerja pembaikian jambatan berlubang di Kampung Gita Lama yang baharu selesai.