Cuba berdagang online, Rentap
BETONG: Rakyat disaran untuk mengguna peluang dengan menceburi bidang perniagaan atas talian dengan bantuan yang disalur kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu berkata, kerajaan membantu memulihkan ekonomi rakyat dengan menyediakan pakej Bantuan Sarawakku Sayang (BKSS) dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
"Inilah masa untuk rakyat meneroka sesuatu yang baru untuk membangun ekonomi masing-masing.
"Gunakanlah kemudahan yang telah dibangunkan dan bantuan kerajaan untuk memajukan diri dan keluarga," katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan cek bantuan Projek Kecil Luar Bandar(MRP) kepada pertubuhan NGO, Kelab Sukan, Biro Wanita Rumah panjang dan juga kepada JKKK Kampung Melayu Betong yang berlangsung di Kompleks Pejabat Kerajaan Negeri dekat sini.
Tambahnya, rakyat terpaksa akur untuk meneruskan kehidupan dalam norma baru dan mematuhi apa jua arahan kerajaan agar kita tidak terjejas dalam musibah yang melanda.
"Disamping kita mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), penduduk terjejas juga boleh meneroka bidang baru seperti jualan produk atas talian," ujarnya.
Dalam majlis tersebut beliau turut menyampaikan cek daripada Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat sebanyak 94 cek kepada Biro Wanita dan JKKK Kampung Melayu.
Manakala 5 cek adalah daripada beliau sendiri yang melibatkan Pertubuhan NGO dan Kelab Sukan seperti Saberkas Layar, Kelab Sukan & Rekersi Pejabat Residen, JKR Sokanjaya Betong, Komiti Gawai Dayak Bahagian Betong dan juga Gerempung Tuai Rumah (GTR) N36 Layar.