Penghantaran pelajar pulang selesai 15 Mei
KOTA SAMARAHAN, 6 Mei (Bernama) -- Proses penghantaran pulang pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terkandas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi zon Sarawak dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya pada 15 Mei ini.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, menerusi data awal yang diterima pihaknya, seramai 3,793 pelajar IPT yang menuntut di negeri ini terlibat dengan proses itu.
"Sejak proses ini bermula pada 30 April lepas, kita telah menghantar 1,495 pelajar di negeri ini pulang ke destinasi mereka, sama ada menggunakan pengangkutan darat ataupun pengangkutan udara. Daripada jumlah ini, seramai 993 orang merupakan pelajar dari luar Sarawak," katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurutnya, setiap pelajar yang dihantar akan melalui proses saringan kesihatan sebelum dibenarkan menaiki pengangkutan mereka selain harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta tidak dibenarkan menukar destinasi perjalanan mereka.
Sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lepas susulan penularan wabak COVID-19, sebahagian besar pelajar-pelajar IPT yang menuntut di negeri ini terpaksa menetap di kampus masing-masing manakala UNIMAS diberi tanggungjawab untuk mengendalikan penghantaran pulang pelajar berkenaan.
-- BERNAMA