Pesakit buah pinggang meningkat di Sarawak

KUCHING:Jumlah pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan hemodialisis di Sarawak semakin meningkat dengan anggaran 250 pesakit baharu setiap tahun. 

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata,pesakit yang menjalani transplan dianggarkan empat kes setahun, purata kematian tahunan pesakit dialisis adalah melebihi 10 peratus.

Menurutnya,kos rawatan dan pengangkutan membebankan khususnya bagi yang berpendapatan rendah dan dari kawasan luar bandar kerana perlu menjalani sesi rawatan yang kerap.

"Kekurangan slot rawatan hemodialisis di pusat rawatan kerajaan dan NGO menyebabkan pesakit terpaksa dirujuk ke pusat rawatan kendalian swasta untuk rawatan hemodialisis atau menerima rawatan CAPD yang lebih berisiko untuk mendapat jangkitan.

"Sebanyak 112 daripada 314 jumlah mesin hemodialisis di pusat rawatan kerajaan berusia lebih lapan tahun dan perlu diganti dengan mesin baharu," katanya ketika mengadakan sidang media Penyampaian Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang di Wisma Kebajikan, di sini, hari ini.

Katanya,peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menambahbaik perkhidmatan bagi rawatan buah pinggang di seluruh negara adalah terhad sebanyak RM6 juta setahun berbanding anggaran kos bagi pembelian sebuah mesin hemodialisis RM42,000 seunit.

"Kita mencadangkan empat bantuan kepada pesakit buah pinggang iaitu bantuan klinikal merangkumi pemasangan Arteriovenous Fistula (AVF) secara one off maksimum RM3,000 untuk seorang pesakit;suntikan Erythropoietin (EPO) maksimum RM240 sebulan untuk seorang pesakit;rawatan hemodialisis maksimum RM200 untuk seorang pesakit bagi setiap sesi rawatan atau RM2,400 sebulan; atau Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) maksimum RM2,800 sebulan untuk seorang pesakit sekiranya tiada slot untuk rawatan hemodialisis.

"Kita turut mencadangkan bantuan 30 mesin hemodialisis bagi menggantikan mesin yang uzur termasuk menambah enam mesin baharu di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak.

"Bantuan pengangkutan berjumlah RM50 sahaja untuk setiap sesi rawatan dengan keutamaan diberi kepada pesakit dari kawasan luar bandar; dan bantuan menjalani transplan (pemindahan buah pinggang) berjumlah RM5,000 secara one off untuk bantuan sokongan bagi pengangkutan dan penginapan pesakit dalam tempoh dua dua bulan menjalani rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur,"katanya.

Beliau berkata,sebelum ini, belum ada bantuan khas bagi pesakit buah pinggang yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri. 

"Pihak JKMS hanya dapat memberi bantuan am bulanan atau bantuan pesakit kronik terlantar berjumlah RM200 hingga RM300 sebulan,"jelasnya.
LihatTutupKomentar
Cancel