Polis tembak mati pengedar dadah di Tawau

Gambar hiasan


LAHAD DATU, 15 Mei (Bernama) -- Polis menembak mati seorang lelaki warga asing, yang juga pengedar dadah dikehendaki, selepas suspek bertindak menyerang anggota polis di kawasan kelapa sawit di Ladang Rimmer, Jalan Silabukan dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor berkata suspek yang dikenali sebagai Tas atau Tans, 30, ditembak kerana menyerang anggota polis menggunakan parang selepas cuba menahannya dalam kejadian antara 9 hingga 9.30 malam.

"Pasukan polis yang menjalankan operasi Op Cantas terserempak dengan suspek yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan, dan polis kemudian cuba menahan suspek untuk pemeriksaan lanjut tetapi suspek bertindak menyerang polis dengan melibaskan parang berkali-kali ke arah anggota polis," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Bagi mempertahankan diri, Nasri berkata pihaknya terpaksa melepaskan beberapa das tembakan dan suspek yang terkena tembakan di bahagian dada rebah serta meninggal dunia di tempat kejadian.

"Hasil pengecaman wajah, didapati suspek tersenarai sebagai orang yang dikehendaki pihak polis," kata beliau.

Nasri berkata pihaknya turut merampas sebilah parang berukuran 56 sentimeter yang digunakan untuk menyerang polis selain tiga bungkus plastik mengandungi enam paket berisi dadah jenis Syabu seberat 13.6 gram.

Beliau juga berkata sebelum suspek ditembak mati, pada hari sama isterinya yang berusia 17 tahun ditahan pada 8.45 malam.
-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel