Sarawak cadang beri kelonggaran atlet berlatih di kompleks sukan
KUCHING, 21 Mei -- Kerajaan negeri Sarawak bercadang untuk membuka semula semua kompleks sukan di bawah seliaannya selepas cuti Aidilfitri dan Gawai Dayak ini, kata Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini.
Beliau berkata langkah itu bagi membolehkan atlet-atlet yang terlibat dalam Sukan Malaysia (Sukma), Sukan SEA dan Sukan Olimpik untuk meneruskan persiapan mereka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.
Beliau berkata perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sebelum dapat dilaksanakan memandangkan larangan penggunaan kemudahan ini dibuat berikutan penularan jangkitan COVID-19.
"Kerajaan Persekutuan telah memberikan kelonggaran untuk atlet dan jurulatih menggunakan kompleks sukan, jadi tidak menjadi masalah untuk Sarawak membuka kompleks sukan kita untuk digunakan atlet terlibat dengan persediaan Sukma, Sukan SEA dan Olimpik,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Belia Prihatin di sini, cadangan kelonggaran ini hanya untuk acara sukan yang tiada sentuhan fizikal secara langsung, selain atlet dan jurulatih wajib melalui saringan ketat.
“Ada sesetengah sukan yang memerlukan atlet-atletnya berlatih di arena tersendiri, contohnya sukan renang. Mereka (atlet) perlu berada di kolam renang, namun jika kita benarkan kompleks ini dibuka kepada orang awam, pastinya ia akan membahayakan atlet renang ini," katanya.
Abdul Karim berkata beliau juga akan berbincang dengan pertubuhan serta badan-badan sukan negeri bagi mengenal pasti jenis-jenis acara sukan yang akan dibenarkan untuk menggunakan kompleks sukan.
"Kita mahukan pasukan yang kuat dan dengan keputusan ini nanti, diharap dapat memberikan semangat kepada atlet-atlet dari Sarawak yang telah disenarai pendek untuk meneruskan persiapan mereka,” katanya.
Kementerian Belia dan Sukan, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negara (MSN) Sarawak akan membantu atlet terlibat dari segi keperluan latihan dan kebajikan mereka selain memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) selepas kelonggaran diberikan untuk menggunakan kompleks sukan ini," katanya.
-- BERNAMA