Sarawak kerja keras lawan Covid-19

KUCHING: Sarawak akan berusaha untuk mengekalkan kes sifar COVID-19 dengan penumpuan kepada kawasan panas.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, antara pendekatan yang diambil mewujudkan stesen kuarantin di hotel dan memberi tumpuan khas kepada Zon Merah.

Menurutnya, ia antara pendekatan diambil oleh Kerajaan Sarawak dalam mengekang penularan pandemik Covid-19.

"Walaupun statistik menggambarkan negeri ini telah menunjukkan penurunan kes tetapi kita tidak boleh terlalu selesa," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Sumbangsih Raya-Gawai Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.

Abang Johari berkata, rakyat Sarawak tidak dapat lagi meraikan dua perayaan itu yang kurang sebulan lagi dengan cara lama.

“Sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai amat dekat di hati rakyat Sarawak diraikan dengan kelaziman baharu.

“Tidak boleh menziarahi satu sama lain, sentiasa memakai pelitup muka dan pensanitasi tangan," katanya.

Beliau menambah, pematuhan kepada garisan panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia merupakan tanggungjawab yang perlu dilakukan rakyat Sarawak.

Beliau menghargai tanggungjawab semua agensi barisan hadapan dalam memerangi wabak Covid-19.

Abang Johari berkata, kerajaan sedang mengkaji pembukaan semula perniagaan namun tidak mendedahkan maklumat berkenaan dengam perkara tersebut.
LihatTutupKomentar
Cancel