Larangan aktiviti ibadah di masjid dan surau kekal


KUCHING: Sarawak masih mengekalkan larangan mengadakan aktiviti ibadah termasuk solat Jumaat dan solat sunat tarawih di semua masjid dan surau sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sehubungan itu, Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam notis penutupan sementara memaklumkan masjid dan surau di Sarawak kekal ditutup kepada awam semasa PKPB.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, semua aktiviti termasuk solat Jumaat, solat lima waktu dan solat tarawih berjemaah tidak dibenarkan mulai 13 Mei sehingga satu kenyataan rasmi baharu dikeluarkan kelak.

Menurutnya, langkah ini adalah selaras dengan arahan kerajaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diputuskan oleh Mesyuarat Khas Lembaga Fatwa Negeri Sarawak bagi mengekang penularan wabak COVID-19 yang masih belum reda sepenuhnya.

Menurutnya, hanya imam, bilal dan merbot sahaja dibenarkan untuk mendirikan solat berjemaah di masjid dan surau.

Jelas Dr Abdul Rahman, sebarang perubahan baru kepada arahan itu akan dikeluarkan oleh Sekretariat Majlis Islam Sarawak dari semasa ke semasa.

Sementara itu, MIS dalam notis arahan hari ini berkata, masjid dan surau di Sarawak masih kekal ditutup sementara kepada awam untuk semua aktiviti termasuk solat jumaat, solat lima waktu dan solat tarawih berjemaah mulai 13 Mei 2020 sehingga satu kenyataan rasmi baru dikeluarkan.

Menurut notis tersebut, hanya Pegawai Masjid iaitu imam, bilal dan merbot sahaja dibenarkan hadir ke masjid dan surau untuk melaungkan azan, solat berjamaah lima waktu dan solat sunat tarawih (8 rakaat) termasuk solat sunat witir dan mereka dikehendaki mematuhi prosedur bagi mengelak risiko jangkitan wabak COVID-19.

Penggunaan pembesar suara luar pula hanya dibenarkan untuk azan sahaja dan kegagalan mematuhi arahan ini boleh diambil tindakan undang-undang, kata notis tersebut.

Katanya, kehadiran Pegawai Masjid adalah terhad kepada empat orang sahaja dalam sesuatu masa berdasarkan jadual yang disediakan Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau.
LihatTutupKomentar
Cancel