Sarawak minta JPJ buka kaunter di UTC

KUCHING, 20 Mei: Sarawak meminta Kementerian Pengangkutan membenarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak membuka kaunter perkhidmatannya di semua Pusat Tranformasi Bandar (UTC) seluruh negeri ini secepat mungkin.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin berkata Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah sudah dimaklumkan mengenai permintaan itu berikutan kesesakkan orang ramai beratur panjang menunggu giliran berurusan di kaunter pejabat JPJ seluruh negeri ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
 
"Kita (Sarawak) meminta supaya kaunter perkhidmatan JPJ di UTC kalau dapat dibuka secepat mungkin, selepas Hari Raya ke supaya mengurangkan kesesakan di pejabat JPJ seluruh Sarawak,"katanya selepas menghadiri mesyuarat ketika melawat Ibupejabat JPJ Sarawak, di Kilometer 18.5 Jalan Kuching-Serian di sini, hari ini.
Kim Shin berkata ketika ini di Ibupejabat JPJ Sarawak sahaja orang ramai beratur panjang sehingga 300 meter di luar pejabat itu bagi menunggu giliran berurusan dengan kaunter perkhidmatannya terutama bagi memperbahrui lesen memandu dan cukai jalan kenderaan yang tamat tempoh ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lepas dan PKPB ini.

Katanya orang ramai tidak perlu terburu-buru memperbahrui lesen dan cukai terbabit kerana mereka diberikan tempoh selama 30 hari selepas tamat PKP lepas bagi memperbahruinya dan tidak akan dikenakan tindakan polis dan JPJ sepanjang tempoh terbabit.

"Ada banyak tempoh masa lagi, jadi tak payahlah terburu-buru dan tidak payah lah menunggu lama dalam barisan panjang (di pejabat JPJ seluruh negeri ini,"katanya dan menambah orang ramai juga boleh memperbahrui cukai dan lesen itu di pejabat pos.

Disamping itu, Lee menjelaskan yang orang ramai boleh menuntut perlindungan insuran sekiranya terlibat dalam kemalangan sekiranya tempoh polisi perlindungan insuran mereka belum tamat walaupun cukai jalan dan lesen memandu sudah tamat tempoh.

Sementara itu, beliau dalam lawatan terbabit juga mencadangkan kepada JPJ Sarawak supaya mendirikan khemah kanopi bagi orang ramai yang beratur panjang di luar pejabatnya dapat berlindung dari hujan dan panas matahari.

"Saya juga mencadangkan pembukaan satu lorong beratur menunggu giliran khas bagi golongan orang kelainan upaya (OKU) dan juga warga emas di pejabat JPJ,"katanya.

Beliau juga mengumumkan JPJ Sarawak sudah melanjutkan tempoh penerimaan bayaran secara tunai bagi urusannya sehingga jam 1 petang berbanding sehingga jam 11 pagi sebelum ini dan ini disebabkan kutipan wang terbabit perlu dihantar ke bank sebelum jam 2 petang.

LihatTutupKomentar
Cancel