Sidang DUN November 2018 luluskan RM500 juta, Setiausaha Kewangan Sarawak

KUCHING: Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri (SFS) menjelaskan tidak ada keperluan untuk membentangkan Dana Luar Jangka untuk tahun 2020 kerana Belanjawan Negeri sudah mempunyai peruntukan / siling RM500 juta. 

Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri dalam satu kenyataan berkata, peruntukan / siling baru RM500 juta untuk Dana Luar Jangka ini ditunjukkan dalam penyata kewangan Negeri 2019 yang belum diaudit. 

Menurutnya, peruntukan / siling dalam Dana Luar Jangka ditingkatkan dari semasa ke semasa oleh Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Dalam 15 tahun terakhir, peruntukan / siling dana telah disemak lima kali.

“Kali terakhir semakan dilakukan dan diluluskan adalah semasa Persidangan DUN November 2018 dengan peruntukannya meningkat daripada RM250 juta kepada RM500 juta berkuat kuasa pada 2019.

“Ia amat jelas dalam Ucapan Belanjawan 2019 semasa Persidangan Dun pada November 2018 apabila pertambahan RM250 juta itu diperuntukan ke atas Dana Luar Jangka,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan hari ini bagi membalas dakwaan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang juga bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Wong Soon Koh apabila mempertikaikan sumber kewangan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).


“Amat penting untuk DUN bersetuju menyemak siling Dana Luar Jangka dan pengisian semua dana terbabit melalui Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan bagi memastikan ia tetap utuh.

“Ini kerana, Dana Luar Jangka adalah salah satu langkah kewangan awam yang sumbernya diurus secara mobilisasi dan dibelanjakan," katanya.


SFS menambah, dana ditubuhkan untuk memenuhi keperluan kerajaan yang mendesak dan di luar jangka apabila ia tiada dalam peruntukan lain.

Ia dibentuk di bawah Artikel 103 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 11 Akta Prosedur Kewangan 1957 (Akta 61).

Di bawah kerangka undang-undang ini, menteri yang bertanggungjawab terhadap kewangan berhak melakukan pendahuluan daripada dana ini bagi tujuan kecemasan.

Selain itu, Seksyen 3(3) Ordinan Prosedur Kewangan (Kecemasan dan Dana Amanah) 1963 memperuntukan Ketua Menteri berkuasa melakukan pendahuluan daripada Dana Luar Jangka untuk keperluan di luar jangka agar dibelanjakan.

Dana ini tiada dalam peruntukan yang sedia ada dan tidak terdapat di bawah Seksyen 15(4) Akta Prosedur Kewangan 1957 (Akta 61).
LihatTutupKomentar
Cancel