Sumbangan kuih raya beri 'suntikan semangat' petugas barisan hadapan
KUCHING: Kesedihan pasukan petugas barisan hadapan tidak dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga sedikit terubat menerusi sumbangan kuih-muih raya.
Sumbangan tersebut disampaikan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa kepada petugas barisan hadapan sekatan jalan raya (SJR) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching hari ini.
"Sumbangan ini bagi memberi sokongan moral serta suntikan semangat kepada petugas barisan hadapan yang tidak jemu memberikan perkhidmatan dan sumbang bakti bagi membendung penularan wabak COVID-19 sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sehingga kini,"katanya.
Katanya, beliau sendiri turun padang untuk memantau dengan sendiri pergerakan dan aliran kenderaan di setiap SJR yang didirikan di bawah IPD Kuching.
"Penyampaian kuih-muih ini sebagai tanda penghargaan kepada para frontliner yang tetap menjalankan tugas dan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik di waktu perayaan ini bagi bersatu hati membendung penularan wabak COVID-19 ini,"ujarnya.