Fitnah : Keluarga pesakit Covid-19 buat laporan polis

MIRI - Keluarga kepada pesakit COVID-19, pagi tadi membuat aduan polis berhubung satu hantaran di Facebook yang didakwa menyebarkan kenyataan palsu sehingga menimbulkan aib dan tekanan kepada mereka.

Laporan itu dibuat oleh kakak kepada pesakit itu di Balai Polis Lutong jam 11.09 pagi tadi.

Beliau dalam laporan polis itu berkata, pada 25 Mei kira-kira jam 8 malam, di kediamannya di Tudan, Miri, beliau telah melakukan tangkap layar atau screenshot semua kenyataan palsu tehadap adiknya di laman Facebook.

Katanya, pelbagai pihak telah menyebarkan cerita serta tuduhan palsu terhadap adiknya yang kini sedang menjalani rawatan di Hospital Sibu setelah disahkan positif COVID-19.

“Adik saya telah difitnah memotong gelang tangan (wrist band) kuarantin COVID-19 sebelum tarikh kuarantin tamat.”

“Semasa menjalani kuarantin di Tanjung Manis, adik saya dituduh berziarah berhari raya sedangkan sebenarnya dia tidak pernah keluar dan hanya duduk di rumah,” katanya.

Akibat perbuatan itu, semua ahli keluarga terutama ibu bapa pengadu merasa tertekan dan malu dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan tuduhan palsu.

Beliau turut mengemukakan sebelas terdiri daripada akaun Facebook persendiriaan dan halaman Facebook yang terlibat dalam penyebaran tuduhan palsu itu.

Katanya, laporan polis hari ini dibuat untuk tindakan selanjutnya serta rujukan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan peguam.

Semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Sri Dr Sim Kui Hian menegaskan pematuhan perintah kuarantin apabila ditanya tentang kes tular tersebut. 
LihatTutupKomentar
Cancel