Tambang bas RM1 di Sibu tidak lama lagi
SIBU: Perkhidmatan bas henti-henti sekitar Sibu akan memulakan tambang bas RM1 tidak lama lagi.
Lima buah syarikat bas telah dipelawa untuk menjayakan pelaksanaan tambang bas dengan kadar RM1.
Syarikat bas terbabit ialah Sungai Merah Bus Bhd, Lanang Bus Company Bhd, Rajang Transport Sdn Bhd, Teku Road Bus Company Sdn Bhd dan Borneo Amalgamated Transport Company Bhd.
Menteri Pengangkutan Datuk Lee Khim Shim berkata, syarikat bas di Sibu dan Sarikei perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sebelum dibenar menjalankan operasi bas berhenti-henti.
Menurutnya, pematuhan terhadap SOP itu penting untuk melindungi penumpang dari wabak Covid-19 memandangkan perkhidmatan bas masih diperlukan penduduk di Sibu dan Sarikei.
"Hari ini kita telah bermesyuarat dengan wakil syarikat untuk mempelawa mereka menyertai inisiatif tambang bas RM1.
"Selain itu, syarikat bas perlu mematuhi SOP bukan bertujuan menimbulkan ketidakselesaan terhadap penumpang tetapi bagi melindungi semua masyarakat dari risiko dijangkiti wabak Covid-19,” katanya semasa mesyuarat di Pejabat Residen Bahagian Sibu hari ini.
Lee menjelaskan kadar rata tambang perkhidmatan bas sebanyak RM1 yang dikenakan kepada setiap penumpang adalah inisiatif kerajaan negeri dalam membantu mengurangkan beban pengguna.
“Kadar rata tambang bas RM1 adalah salah satu dari pelbagai inisiatif dilaksanakan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bertujuan meningkatkan kualiti dan taraf hidup rakyat.
“Ia juga bertujuan menggalakkkan orang ramai menggunakan perkhidmatan bas sebagai pengangkutan utama untuk bergerak dalam bandar, mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah yang amat memerlukan pengangkutan bas awam serta menggalakkan syarikat meningkatkan perkhidmatan mereka,” katanya.
Sebanyak 11 pengusaha bas akan memulakan operasi di Sibu dan Sarikei bermula 25 Mei ini.