Tembikai Black Lady laku


KOTA SAMARAHAN, 14 Mei: Cuaca panas dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyebabkan buah tembikai "Black Lady" sedang mendapat permintaan tinggi dari orang ramai di negeri ini.

Penjual buah terbabit, Zamri Chupak, 40, berkata ini berikutan orang ramai tidak dapat bergerak bebas melintasi daerah ke luar bandar bagi mendapatkan bekalan buah itu ketika PKPB ini ditambah cuaca panas menyebabkan mereka membelinya di kedai buah berhampiran rumah sahaja. 

"Ini menyebabkan saya mampu menjual sebanyak 100 kilogram setiap hari ketika PKPB ini dan sehingga 200 kilogram ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setiap hari sebelum ini,"katanya yang menjual tembikai terbabit di kedai terletak di pusat perniagaan di Taman Desa Ilmu di sini, hari ini.

Zamri berkata tembikai terbabit dijual pada harga RM2.50 sehingga RM3 sekilogram mengikut saiz dengan bekalannya diperolehinya dari petani di Kampung Benat, Gedong yang menanam buah terbabit secara besaran bagi dipasarkan ke Kota Samarahan dan bandar raya Kuching.

"Black Lady juga tembikai yang digemari orang ramai kerana isinya berwarna lebih merah dan rasanya lebih manis dari jenis tembikai lain, malahan kerap juga pelanggan membeli sehingga puluhan kilogram sekaligus,"katanya.

Namun, beliau telah dimaklumkan petani dari Kampung Benat yang bekalan buah terbabit ditanam mereka dijangka hanya akan mencukupi bagi memenuhi permintaan pasaran sehingga hujung bulan ini.
tamat



LihatTutupKomentar
Cancel