Terjun sungai elak ditangkap edar dadah
BINTULU: Seorang lelaki warganegara Indonesia disyaki pengedar dadah nekad terjun sungai bagi meloloskan diri ditangkap polis dalam serbuan di Kampung Dato, di sini, petang semalam.
Bagaimanapun, tindakan lelaki tersebut hanya sia-sia apabila berjaya ditangkap
Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Bahagian (BSJND) Bintulu.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, pemeriksaan yang dilakukan menemui sebungkus plastik hitam dari poket seluar yang dipakai suspek.
"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat satu kotak rokok di dalamnya mengandungi 16 paket plastik lutsinar yang setiap satunya mengandungi ketulan-ketulan kristal dipercayai dadah jenis Methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, dadah seberat 62 gram itu dianggarkan bernilai kira-kira RM6,500.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 Dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalananan diri yang sah.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen,39B ADB 1952, suspek berhadapan dengan gantung sampai mati mandatori jika didapati bersalah.