Aidilfitri di Betong bebas pelanggaran PKPB

BETONG : Tiada perlanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Betong dalam tempoh 24 jam sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri sejak semalam.

Ketua Polis Daerah (KPD) Betong, DSP Zamry Alli berkata keadaan di Betong agak tenang dan kurang orang awam yang keluar di kawasan pasar dan mematuhi SOP yang dikeluarkan kerajaan.

"Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disambut oleh masyarakat Islam diseluruh Negara pada Ahad diraikan tanpa kunjung mengunjung sesama rakan dan jiran namun tetap disambut dengan hati terbuka mengikut kepatuhan SOP yang dikeluarkan.

"Kerajaan menetapkan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dan Gawai Dayak diraikan hanya satu hari sahaja mengikut SOP yang hanya boleh dihadiri sehingga 20 orang sahaja," katanya yang dihubungi dan menjelaskan berhubung SOP sambutan perayaan.

"Terima kasih kepada penduduk Betong yang mematuhi arahan dan sentiasa berusaha mengekalkan untuk tidak keluar dan berkumpul dalam jumlah yang ramai.

"Masyarakat umum mesti terus mendisiplinkan diri masing-masing untuk hidup dalam norma baru pada masa kini.

"Kejayaan masyarakat Betong yang fokus dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 merupakan satu langkah positif," ujarnya.

Tambahnya, usaha dan kerja keras yang dilakukan oleh barisan hadapan dan masyarakat di Betong untuk menghentikan penularan Covid-19 bukanlah perkara yang mudah tanpa kerjasama semua pihak.

Dalam pada itu usaha ini masih lagi berterusan dan kerjasama semua masyarakat diperlukan juga bagi memastikan Betong benar-benar bebas daripada wabak yang mengancam nyawa ini.

Sementara itu, Zamry turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh masyarakat Islam di Betong yang menyambut perayaan itu semalam.


LihatTutupKomentar
Cancel