Who laporkan terdapat sindrom seperti penyakit Kawasaki pada kanak-kanak positif COVID-19.
KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melaporkan terdapat sindrom seperti penyakit Kawasaki pada kanak-kanak yang positif COVID-19.
Dalam catatan Facebooknya hari ini, beliau menyatakan keadaan itu adalah gejala radang saluran darah yang bermula dengan tanda demam dan ruam.
Sementara itu, Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesu berkata laporan dari Eropah dan Amerika Utara mengesan sejumlah kecil kanak-kanak dimasukkan ke unit rawatan rapi dengan radang pelbagai sistem serta beberapa ciri yang serupa dengan penyakit Kawasaki dan sindrom kejutan toksik.
Dalam klip video yang sama, Ketua Teknikal COVID-19 untuk Program Kecemasan Kesihatan WHO, Dr Maria Van Kerkhove berkata ia merupakan satu keadaan yang sangat jarang berlaku dan WHO telah mendapat gambaran mengenai gejala yang berbeza pada kanak-kanak yang diuji positif COVID -19.
Menurut laman web rasmi WHO, laporan kes telah menggambarkan penyakit akut yang disertai oleh sindrom hiperinflamasi, yang membawa kepada kegagalan pelbagai organ.
Ia penting untuk mencirikan sindrom berkenaan dan faktor risikonya bagi memahami sebab serta akibat, selain menerangkan intervensi rawatan.
Masih belum jelas spektrum penuh penyakit itu dan sama ada faktor penyebaran di Eropah dan Amerika Utara mencerminkan corak sebenarnya atau tidak.