40 projek RTP diluluskan di DUN Pakan

40 projek RTP diluluskan di DUN Pakan

PAKAN:Sebanyak 40 buah projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP)  dengan kos sebanyak RM5 juta telah diluluskan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakan setakat ini bagi tahun 2020 bagi memastikan kawasan itu tidak ketinggalan dari segi pembangunan.

 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, komponen projek-projek itu adalah seperti jalan, bangunan, jambatan, benteng, merata tapak rumah panjang dan lain-lain. 

"Projek RTP ini telah berjaya memberi manafaat dan keselesaan kepada penduduk rumah panjang dan sekolah di kawasan DUN ini,"katanya.

Jelas Mawan lagi, dari segi pelaksanaan, setiap tahun kawasan DUN Pakan sentiasa mendahului kawasan DUN lain di Bahagian Sarikei. 

"Untuk tahun ini sebanyak lapan projek dulu akan dicabut undi pada 15 Jun 2020 untuk mengetahui kontraktor yang akan melaksanakan projek tersebut," katanya lagi.

Beliau menambah, baki projek lain akan dicabut undi dalam masa terdekat selepas penyediaan BQ selesai dilakukan oleh pihak Agensi Teknikal seperti JKR, DID dan Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ).

Mawan berkata demikian kepada pemberita setelah membuat tinjauan kerja penyelengaraan jalan menuju ke Ulu Kota yang turut dihadiri oleh SAO Dana Ak Ungki daripada Pejabat Daerah Pakan, Ketua Masyarakat Kawasan Ulu Julau Penghulu Dandan Ak Bujang, Tr. Saban ak Jelom, Sg Ipoh Ulu, dan Tr. Jembau ak Lau, Tanjung Kedang Nanga Kota.

Mengimbau sejarah bermulanya Projek RTP di Sarawak, Mawan menegaskan ianya adalah merupakan cetusan idea mantan Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Tok Nan yang telah bermula dilaksanakan pada tahun 2015. 

"Fokus utama RTP ialah kawasan luar bandar yang masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur seperti jalan, jambatan, benteng, tapak rumah panjang baharu, bangunan dan sebagainya,"ujarnya.

Katanya lagi, peruntukan untuk projek RTP adalah berupa projek yang melibatkan amaun RM5 juta bagi setiap ADUN setahun dan bukanlah dalam bentuk wang tunai yang disalurkan terus kepada ADUN kawasan sepertimana yang selalu dicanangkan oleh sesetengah pihak sebelum ini. 

"Setiap tahun ADUN kawasan akan menghantar senarai cadangan projek kepada Residen Bahagian untuk tujuan kompil dan kelulusan EPU Sarawak," jelasnya lagi.

Tambah Mawan, seperti kawasan ADUN lain di Sarawak, DUN Pakan juga tidak pernah dtinggalkan dalam arus pembangunan melalui RTP dan selain daripada RTP, DUN Pakan juga turut menikmati pembangunan melalui pelbagai agensi Kerajaan yang lain seperti Projek Rakyat dan sebagainya. 

"Kita di peringkat pemimpin dan rakyat amat menyanjungi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg kerana menyinambungi usaha Tok Nan dan meneruskan Projek RTP dalam mencapai matlamat mendekatkan jurang pembangunan di antara kawasan luarbandar dan bandar," tegasnya.
LihatTutupKomentar
Cancel