Dua pekerja kilang rugi RM48,906 ditipu sindiket pinjaman tidak wujud, macau scam

KEPALA BATAS, 11 Jun (Bernama) -- Dua pekerja kilang mengalami kerugian sebanyak RM48,906 selepas masing-masing ditipu sindiket pinjaman tidak wujud dan Macau Scam di daerah Seberang Perai Utara (SPU) masing-masing pada Selasa dan semalam.

Ketua Polis Daerah SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian membabitkan sindiket memberi pinjaman wang tidak wujud, seorang wanita berusia 53 tahun kerugian RM40,906 kerana ditipu sindiket itu selepas mangsa tertarik dengan iklan pinjaman wang sebuah syarikat berlesen di Facebook sebelum diminta untuk membuat beberapa bayaran pemprosesan dua hari lalu.

"Mangsa yang curiga dan hanya menyedari dia ditipu apabila ejen masih memintanya untuk buat bayaran tambahan sebelum wanita itu terus membuat semakan dengan pihak polis dan mendapati telah ditipu penipu," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 38 tahun kerugian RM8,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa tidak hadir perbicaraan kes jenayah di Mahkamah Labuan, semalam. 

Katanya lelaki itu hanya menyedari ditipu apabila membuat semakan baki dalam akaun banknya dan mendapati jumlah dalam akaun tersebut berkurangan sebanyak RM8,000 kerana telah dipindahkan ke dalam akaun bank pihak lain secara dalam talian.

Beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut, termasuk mengesan pemilik akaun yang digunakan untuk memindahkan wang daripada mangsa, dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 
-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel