927 pelajar tiba di Miri negatif
MIRI: Sebanyak 927 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Tempatan Sarawak yang kembali ke Bahagian Miri disahkan negatif COVID-19.
Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin selaku Menteri yang bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri dalam kenyataan berkata, semua aktiviti saringan Covid-19 untuk pelajar kini telah selesai.
"Semua pelajar telah menjalani pengumpulan swab untuk ujian rt-PCR.
"Kami dimaklumkan bahawa semua keputusan ujian adalah negatif," katanya.
Beliau berkata, JPBB Miri juga mengiktiraf kerjasama erat dan jaringan yang dilakukan oleh pasukan petugas terlibat.
"Mereka terdiri daripada Jabatan Kesihatan Miri, Hospital Miri, sukarelawan Universiti Curtin dan Kolej Komuniti Miri, Polis Diraja Malaysia Miri (PDRM, Pejabat Daerah (Miri, Subis, Beluru, Marudi, Telang Usan) di bawah pengawasan Pejabat Residen Miri dalam inisiatif ini.
"Saya mewakili JPBB Miri ingin mengucapkan terima kasih kepada semua keluarga dan pelajar atas kerjasama diberikan," katanya.