Uggah santuni DJ mangsa kebakaran
KUCHING, 14 Jun: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah menziarahi mangsa kebakaran rumah di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Batu Kawa sekitar jam 3 petang tadi.
Dalam lawatan terbabit Uggah melihat sendiri keadaan tiga rumah terbabit yang musnah 100 peratus manakala sebuah lagi rumah sehingga 65 peratus terbakar pada petang Jumaat lepas.
Menurut seorang mangsa, Ivy Ubang, 51, dalam lawatan terbabit Uggah selain bertanyakan keadaan mereka yang kehilangan rumah tempat berteduh juga bertanyakan tentang kejadian kebakaran itu termasuk puncanya.
"Saya gembira kerana Timbalan Ketua Menteri masih sempat melawat dan bertanyakan keadaan kami, walaupun beliau sedang sibuk menguruskan penularan wabak Covid-19 di Sarawak ketika ini,"katanya juga bekerja dengan sebuah stesen radio swasta di bandar raya ini.
Ivy berkata selepas ini keluarganya akan berusaha memohon bantuan bagi membaiki rumahnya yang musnah terbakar itu dari kerajaan negeri dan mendedahkan kemungkinan litar pintas penyebab kebakaran itu.
"Seramai 11 ahli keluarga saya mendiami rumah terbabit sejak 1982 dan ketika ini kami terpaksa menumpang tidur di rumah kakak saya,"katanya dan berharap ada pihak dapat menyumbangkan selimut dan bantal kepada mereka.
Selain itu, beliau berterima kasih kepada ramai pihak yang telah memberikan pelbagai bentuk bantuan kepada keluarganya setakat ini.