Abg Jo suruh wakil rakyat turun padang
KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg mengarahkan semua wakil rakyat turun padang bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12).
Beliau yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak memberi bayangan tarikh sebenar pilihan raya diadakan.
“Saya tidak tahu bila tarikh PRN akan diadakan. Saya meminta wakil rakyat kita untuk bersedia dengan kemungkinan pelaksanaan PRN pada bila-bila masa meskipun kita masih lagi mempunyai tempoh satu tahun sebelum berakhirnya penggal.
“Akan tetapi kita sangat bergantung dengan keadaan semasa di mana sekarang ini kita berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), macam mana hendak jalankan PRN dalam keadaan ini,” katanya yang juga pada satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada hari ini.
PRN Sarawak ke-11 telah diadakan pada 7 Mei 2016 dan tempoh akhir untuk mengadakan PRN berikutnya ialah pada Julai 2021
Abang Johari berkata, Pilihan raya Negeri boleh ditangguhkan jika berlakunya kecemasan tetapi ia bergantung keputusan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Kita ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Dalam keadaan seperti ini (PKP), jika SPR umum untuk teruskan PRN, maka tiada tangguh.
"Semuanya bergantung dengan situasi semasa, lebih-lebih lagi perihal kesihatan awam,” ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, perjuangan GPS akan diteruskan dengan sentiasa mengutamakan Sarawak serta rakan dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN).