Ali Biju bakal sertai PDP?

Parti Keadilan Saratok umpama sebuah kapal karam apabila hampir keseluruhan jentera meletakkan jawatan.

Keputusan Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Saratok keluar parti beramai-ramai kerana hilang percaya kepada kepimpinan tertinggi parti umpama malapetaka buat parti yang sedang dilanda masalah.
 
Mereka  menjelaskan parti itu seperti tidak mempunyai hala tuju dan sekadar menjadi medan untuk mereka yang berkepentingan meraih tempat sebagai Perdana Menteri Malaysia.

"Kami telah hilang kepercayaan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana kami melihat bahawa kini, parti seolah – olah tiada hala tuju dan sekadar untuk memenuhi impian peribadi presiden parti untuk menjadi Perdana Menteri sahaja," kata mereka.

Beberapa orang kuat Keadilan Saratok menyatakan kesetiaan menyokong  Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Biju yang telah dipecat daripada PKR sebelum ini.

Mereka mengakui sokongan yang diberikan kepada Ali disebabkan kapasiti peribadi beliau dan bukan atas dasar parti.

Hakikat kekuatan Ali Biju bukan kerana parti tetapi kekuatan peribadi yang sentiasa bekerja keras turun padang menyelesaikan masalah rakyat.

Penganalisis politik berpendapat PKR Sarawak jika bertanding kerusi parlimen bakal hilang deposit jika bertanding di Krian.

Pada pilihan raya Parlimen Saratok Ali Biju menewaskan calon Barisan Nasional (BN) daripada Parti  Demokratik Progresif (PDP)  Jagah @ Subeng Mula dengan undi majoriti 989 undi.

Ali Biju mendapat 11,848 undi manakala Subeng Mula mendapat 10,859 undi.

Ali Biju yang terkenal dengan jolokan ‘Giant Killer’  merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian.

Pada pilihan raya 2016, Ali menewaskan Kilat Beriak dari SPDP dengan majoriti undi 1,640.

Ali mula mendapat gelaran Giant Killer setelah menawan kerusi DUN Kerian pada 2011 apabila menewaskan orang kuat SPDP Peter Nyarok Entrie.

Pada PRN 2011 Ali menewaskan Peter Nyarok dari SPDP, Liman Sujang SNAP dan seorag dari parti Bebas Banyi Beriak. 

Ketika itu Ali Biju meraih mendapat undian terbanyak 5,178 diikuti Peter Nyarok 3,088 dan Liman Sujang 216 serta Banyi Beriak 125 undi.

Kini, ketika pilihan raya negeri ke-12 semakin hampir, ramai percaya Ali Biju amat sesuai menyertai PDP yang diterajui Datuk Tiong King Sing.

Penganalisis politik berpendapat inilah masanya segala permusuhan antara kem SPDP Saratok dan kem Ali Biju diselesaikan dalam usaha menawan kembali kerusi milik Keadilan. 

Ramai berpendapat jika menyertai parti lain selain komponen GPS amat sukar  untuk Ali Biju bernafas untuk mempertahankan kerusi DUN Krian dan Parlimen Saratok.

Jika dia melompat ke dalam PDP, Ali Biju bukan sahaja berpeluang membangunkan Saratok dengan lebih pesat, malah besar kemungkinan mungkin dia juga bakal menjawat tugas lebih penting dari Timbalan Menteri. 

Kalau Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang pun bermati-matian memuja Tun Dr Mahathir, apalah sangat jika Ali Biju menyertai GPS demi kebaikan rakyat Saratok. 

LihatTutupKomentar
Cancel