Seludup tong gas ke negara jiran
KUCHING: Pihak berkuasa menggempur kegiatan menyeludup tong gas dan gula yang dipercayai menjadi punca utama kekurangan bekalan keperluan asas di Sarawak.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak, Datuk Stanley Tan berkata, pihaknya menerima dua kes serahan daripada Batalion 11Pasukan Gerakan Am (PGA) di Serian jam 1 petang semalam.
"Dalam operasi pada Sabtu lalu PGA telah menyita sebuah lori, pikap, Gas Petroleum Cecair (LPG) jenama Petronas sebanyak 44 selinder dan gula bertapis kasar sebanyak 24 kilogram (paket 1 kilogram).
"Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM86,050.80,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya,siasatan awal KPDNHEP mendapati suspek tidak memiliki lesen atau kebenaran untuk memiliki atau menjalankan urusniaga barang kawalan tersebut.
"Kes ini disiasat lanjut di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,"tegasnya.
Beliau berkata,sekiranya disabitkan kesalahan, pihak yang terlibat jika orang itu ialah satu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM 3 juta bagi setiap barang kesalahan yang dilakukan.
"Jika orang itu bukan satu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM 1 juta bagi setiap kesalahan yang dilakukan atau penjara tidak melebihi tempoh selama tiga tahun atau kedua-duanya,"ujarnya.
Katanya, KPDNHEP dengan kerjasama jabatan serta agensi penguat kuasa akan sentiasa dan berterusan memantau, menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan tegas dari semasa ke semasa untuk menangani ketirisan barang kawalan bersubsidi.