Anggota tentera ditangkap layan Syabu
KUCHING:Anggota tentera antara empat yang diberkas kerana penyalahgunaan dadah jenis Syabu dalam serbuan pihak Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di dalam sebuah bilik sewa tingkat satu Everfull Kopitiam,Jalan Kota Sentosa, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, tiga lelaki dan seorang wanita berusia 23 hingga 36 tahun ditangkap dalam serbuan jam 6.55 petang itu.
"Semua suspek sedang duduk di dalam bilik terbabit kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
"Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas tubuh badan suspek tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya,disaksikan kesemua suspek pemeriksaan dibuat ke atas bilik terbabit, hasil pemeriksaan telah menjumpai satu bekas kecil kotak plastik berwarna hitam di atas lantai di kawasan tempat keempat-empat suspek sedang duduk di dalam bilik terbabit.
"Pemeriksaan teliti ke atas bekas kecil kotak plastik tersebut telah menjumpai empat balutan kertas putih di dalamnya tersimpan empat peket plastik lutsinar bersama lima peket plastik lutsinar.
"Kesemuanya berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Syabu dengan berat kasar 8.70 gram yang turut dirampas untuk dijadikan barang kes,"katanya.
Beliau berkata,keempat-empat suspek
mengaku mengambil dadah syabu kali terakhir pada hari ditangkap.
"Tiga suspek yang mempunyai rekod lampau kesalahan dadah mengaku barang kes dibeli secara 'bank-in' dan akan dijual kepada pembeli di sekitar Batu 7.
"Anggota tentera yang merupakan penjawat awam tidak mempunyai rekod lampau kesalahan dadah,"katanya.
Aidil berkata,kesemua suspek dibawa ke pejabat BSJND IPD Padawan serta dimasukkan ke lokap Balai Polis Siburan dan Beratok untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) & 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.