PGA rampas 11,680 karton rokok seludup

 
SERIAN: Batalion 11 Pasukan Gerakan Am(PGA) Kuching berjaya merampas sebanyak 11,680 karton rokok disyaki seludup yang bernilai anggaran RM 1,962,720 dalam operasi ‘Op Libas’ yang dijalankan di kawasan Daerah Serian.  

Pegawai Pemerintah Batalion 11 Pasukan Gerakan Am Kuching, Superintendan Rosdi Inai berkata, operasi yang dijalankan seramai 13 pegawai dan anggota dari Batalion 11 PGA pada jam 9.30 pagi atas risikan dan maklumat yang telah diperolehi. 

"Sebanyak 11,680 karton rokok kretek dan putih pelbagai jenama disyaki diseludup disembunyikan di dalam sebuah premis tingkat atas bangunan kedai di kawasan Bukar Sadong Land Distrct, Serian,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya,pihaknya juga telah berjaya menahan seorang remaja  lelaki  berusia 17 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis tersebut. 

“Hasil maklumat yang diperolehi juga, rokok ini dipercayai diseludup dari negara jiran dan akan dipasarkan di pasaran tempatan,"ujarnya.
 
Katanya,kes diserah kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang boleh membawa hukuman denda minimum 10 kali nilai barang dan maksimum 20 kali nilai barang atau penjara tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan. 

"Kita menasihatkan masyarakat supaya sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa khususnya PDRM bagi mengawal aktiviti penyeludupan atau apa jua perlakuan jenayah,"tegasnya.
LihatTutupKomentar
Cancel