RM6 juta untuk naiktaraf Jalan Kampung Medang
SARIBAS: Pembangunan kemudahan asas menjadi tunjang kepada kemajuan sosio ekonomi penduduk yang dahagakan kemudahan sebagai keperluan hidup.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam menaruh keyakinan bahawa keprihatinan kerajaan Negeri memberi kelulusan dalam mempercepatkan pelaksanaan projek bagi pembangunan kawasan luar bandar membawa perkhabaran gembira kepada rakyat.
Katanya, pelaksanaan pembangunan dan menyediakan kemudahan asas menjadi tunjang kepada kemajuan sosio ekonomi penduduk yang sekian lama dahagakan kemudahan sebagai keperluan hidup.
"Kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM6 juta bagi melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf jalan ke Kampung Medang.
"Peruntukan di bawah projek rakyat diluluskan oleh Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg pada tahun 2019 yang lalu.
"Kita menerima perkhabaran gembira apabila garis panduan pelaksanaan projek diumumkan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan baru-baru ini.
"Kerja-kerja menaiktaraf melibatkan jarak sejauh 6 kilometer yang akan dilaksanakan oleh kontraktor Cahya Mata Sarawak Berhad (CMS).
"Jalanraya yang sedia ada akan dinaiktaraf kepada jalan berturap yang dijangka dapat disiapkan dalam tempoh tiga bulan pelaksanaannya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan pemantauan tapak bagi projek naiktaraf jalanraya di Kampung Medang baru-baru ini.
Razi turut mengharapkan kerjasama penduduk kampung dalam mempermudahkan kerja-kerja berkaitan sepanjang tempoh tersebut.
Turut hadir Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong, Chiresly Francis Kureng, wakil CMS, Ketua Ranting PBB Kampung Medang, Lani Narudin dan wakil Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK).