DAP tuding, SUPP selesaikan...
KUCHING, 6 Jun: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) telah membantu memindahkan dua keluarga warga tempatan yang tinggal di dalam kontena usang berhampiran Jalan Kuap, Kota Padawan, di sini, hari ini.
Pemindahan dua keluarga terbabit yang keseluruhannya seramai enam orang itu diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang bersama Ketua Wanita SUPP Ranting Batu 7, Suzzilawati Suhali.
Lo Khere Chiang berkata kedua keluarga dipindahkan ke satu rumah kedai yang disewa biliknya di Kota Sentosa sementara menunggu Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) mencarikan rumah sewa murah kepada mereka.
"Kami akan menyewa bilik rumah kedai itu bagi didiami mereka sementara sehinggalah HDC dapat menyediakan rumah sewa kepada kedua keluarga. Kemudian mereka akan tinggal di rumah sewa HDC terbabit yang sewanya kurang dari RM150 sebulan,"katanya.
Lo berkata dua keluarga itu juga akan dibantu pihaknya mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, Tabung Baitulmal Sarawak dan Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak.
Nurul Syafiqah Bujang, 27, dari Siol Kandis berkata keluarganya sebelum ini pernah tinggal di rumah orang lain dan mereka telah dihalau keluar dan menyebabkan keluarganya tinggal di kontena usang terbabit sejak setahun yang lepas.
"Saya tidak mampu menyewa rumah, kerana sebelum ini hanya bekerja sebagai buruh binaan dengan gaji RM40 sehari. Kini saya tidak bekerja kerana Covid-19 dan terpaksa mencari besi buruk atau tin aluminium bagi mendapatkan wang belanja," katanya.
Beliau yang ada dua anak kecil iaitu seorang berusia satu tahun enam bulan dan seorang lagi empat tahun mengakui khuatir tinggal di kontena usang di kelilingi semak terbabit kerana adakalanya terserempak ular berhampiran kawasan itu.
"Maka saya amat gembira sekiranya ada rumah sewa murah disediakan HDC kepada keluarga saya, kerana saya bukan ada cacat anggota dan boleh bekerja bagi membayar sewanya yang sekitar RM150 sebulan,"katanya.
Marikan Abu Seman, 52 dari Tabuan Lalang berkata sebagai buruh kilang bergaji antara RM20 hingga RM50 sehari, beliau tidak mampu menyewa rumah bagi didiami bersama isteri dan seorang iparnya serta terpaksa tinggal di kontena usang itu sejak setahun lepas.
"Jadi saya amat berharap dapat rumah sewa HDC sekitar RM150 sebulan itu, supaya kami tidak perlu terus mengharapkan bantuan orang lain bagi menyediakan kami kediaman yang selesa,"katanya.
Marikan mengakui tinggal dalam kontena usang terbabit bukan sahaja terpaksa menahan panas di siang hari tetapi juga mereka akan kebasahan sekiranya hari hujan lebat.
keterangan gambar:
1. Lo Khere Chiang ( kanan) bersama dua keluarga yang dibantunya pindah dari kontena usang berhampiran Jalan Kuap, Kota Padawan, di sini, hari ini.
2. Lo Khere Chiang ( kanan) membantu mengangkut barangan ke dalam van bagi memindahkan dua keluarga yang tinggal di kontena usang berhampiran Jalan Kuap, Kota Padawan, di sini, hari ini.
3. Kontena usang yang didiami dua keluarga berhampiran Jalan Kuap, Kota Padawan, di sini.