Enam ahli geng peras ugut diberkas

KUCHING: Enam ahli geng peras ugut di sekitar bandaraya Kuching diberkas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching petang semalam.

Keenam-enam suspek lelaki tempatan berusia 23 hingga 52 tahun  itu ditangkap antara jam 3 petang hingga 9 malam tadi di sekitar bandaraya Kuching.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, tangkapan itu adalah ekoran daripada satu laporan polis yang dibuat mangsa yang bekerja sebagai sub-kontraktor di tapak pembinaan jalan raya di satu kawasan taman perumahan bandaraya Kuching.

"Di dalam kejadian ini, mangsa mendakwa pada 19 Jun lalu, jam lebih kurang 1 tengah hari mangsa didatangi oleh ahli geng  ini dengan mendakwa mereka menjaga kawasan ini dan mereka telah menuntut wang perlindungan.

"Jika tidak geng ini akan mengganggu kerja dan proses pembinaan di kawasan terbabit,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan awal ke atas keenam-enam suspek, pihak polis percaya geng berkenaan terlibat dalam satu lagi kejadian dengan modus operandi yang sama di mana geng ini datang mengganggu kerja-kerja di tapak pembinaan dan meminta sejumlah wang diantara RM100 sehingga RM500 mengikut kehendak mereka.

"Semakan rekod jenayah lampau telah dibuat dan mendapati suspek mempunyai jenayah rekod lampau jenayah dan narkotik. 

"Hasil pemeriksaan  air kencing empat orang daripada suspek  positif dadah jenis Methaphetamine,"ujarnya.

Katanya, permohonan tahanan reman ke atas suspek telah diluluskan selama emapt hari. 
 
Kes disiasat di bawah Seksyen 384 dan 385 Kanun Keseksaan.
LihatTutupKomentar
Cancel