Era digital di seluruh Sarawak pada 2025 - Abang Johari


KUCHING, 9 Jun -- Kerajaan negeri Sarawak menerusi Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) menyasarkan untuk meningkatkan kesalinghubungan digital ke seluruh negeri itu pada 2025, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, hari ini.

Beliau berkata, garis masa itu ditetapkan kerana Sarawak hanya mula mengerakkan program pendigitalannya kira-kira dua tahun lepas, dan memerlukan masa untuk mengadakan kesemua infrastruktur yang diperlukan, untuk beroperasi.

“Dengan penubuhan SMA, kami (kerajaan negeri) telah memberikan mereka dana RM1 bilion dan ia mengambil masa untuk kami membina menara dan optik fiber dan ini amat penting dan ia dalam proses sekarang ini. Ia memerlukan masa,” katanya.

Menjawab kepada soalan seorang peserta webinar ‘Post COVID-19: Sarawak the New Normal’ yang dianjurkan secara dalam talian oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) beliau berkata, SMA akan terus mengkaji pelbagai teknologi bagi mempercepatkan kesalinghubungan digital di Sarawak.

“Infrastruktur itu, saya harap pada tahun 2023 atau 2025, harapannya akan meliputi antara utara dan selatan Sarawak dan ini tentunya akan mengubah landskap kesalinghubungan (digital) di Sarawak. Ia satu tugas sukar, tetapi saya berharap kita tentunya akan mencapai sasaran.” katanya.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel