Sindiket dadah warga Myanmar tumpas, rampasan bernilai RM1.28 juta

GEORGE TOWN, 9 Jun (Bernama) -- Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah selepas menahan empat warga Myanmar dan seorang lelaki tempatan serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.28 juta dalam siri serbuan di sekitar negeri ini pada Jumaat dan Sabtu lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata dalam operasi pertama, polis menyerbu tiga lokasi di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Bayan Baru, dekat sini bermula pukul 6.45 petang Jumaat hingga 8.00 pagi Sabtu sebelum menahan empat warga Myanmar termasuk seorang wanita.
"Bertindak hasil maklumat dan risikan dijalankan sejak dua minggu lepas, polis menahan seorang lelaki Myanmar yang sedang memandu sebuah kereta di Jalan Perai, SPT dan merampas sejumlah dadah sebelum menyerbu sebuah rumah di Bukit Mertajam dan menahan dua lagi lelaki Myanmar bersama pelbagai bahan terlarang itu.

"Susulan itu, kami menyerbu sebuah kedai runcit di Bayan Baru dan menahan wanita Myanmar berusia 45 tahun tersebut yang dipercayai ketua sindiket pengedaran dadah berkenaan. Hasil penahanan mereka, polis merampas 2,980 gram (g) heroin base, 8,493g syabu dan 14,000 biji pil wy yang kesemuanya bernilai RM810,831," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket didalangi warga asing itu terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak awal tahun ini dan mereka yang mempunyai pasport serta pas pekerja yang sah itu mengedarkannya untuk pasaran sekitar Pulau Pinang.
 
Beliau berkata, berdasarkan siasatan, tiga lelaki warga asing berusia 24 hingga 40 tahun itu bekerja di sebuah kedai pendawaian elektrik dan mereka menjadikan rumah sewa sebagai tempat untuk menyimpan semua stok dadah sebelum menjual kepada pembeli.

"Semua bungkusan dadah milik sindiket itu dicop dengan cop khas bagi menandakan dadah itu milik mereka dan wanita yang ditahan itu dipercayai mempunyai hubungan dengan sindiket pengedaran dadah di peringkat antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Sahabudin berkata dalam operasi kedua bermula 7,00 petang Jumaat hingga 4.00 pagi Sabtu, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di sebuah rumah di Bukit Tengah, SPT dan merampas 4,533g serbuk minuman yang mengandungi methylenedioxymethamphetamine (MDMA), 20 biji pil ekstasi dan 90 biji pil eramin 4 yang kesemuanya bernilai RM465,500.

"Dadah jenis MDMA itu dicampur bersama dalam pek serbuk minuman pelbagai jenama terkenal yang dipercayai untuk dijual di pusat hiburan sekitar negeri ini. Lelaki yang tidak bekerja itu dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah sejak awal tahun ini dan dia dipercayai hidup mewah hasil kegiatan itu," katanya sambil menambah semua dadah dirampas itu boleh digunakan oleh kira-kira 129,500 penagih dadah.

Beliau berkata, susulan penahanan lima individu itu polis menyita pelbagai harta bernilai RM127,180 antaranya dua buah kereta, barang kemas serta wang tunai berjumlah RM87,180 dan mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

-- BERNAMA
Kredit gambar Info Semasa Official 
LihatTutupKomentar
Cancel