Garispanduan ketat solat di Masjid
KUCHING: Jabatan Agama Islam Sarawak mengeluarkan garis panduan pengimarahan masjid/surau semasa dan selepas tamat perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di selurih Sarawak.
Sehubunga itu, solat Jumaat dan solat kina waktu berjemaah adalah dibenarkan mulai esok di masjid/surau dengan syarat mematuhi penjarakan sosial (1 meter).
Bahagian Kemajuan Institusi Masjid Jabatan Agama Islam Sarawak dalam kenyataan berkata, tempoh pembukaan masjid atau surau adalah satu (1) jam sebelum azan dan hendaklah ditutup sejurus selepas selesai doa dibacakan.
Menurutnya, kelas pengajian tetap antara maghrib dan isyak boleh dijalankan dengan syarat mematuhi penjarakan sosial (1 meter) dan hendaklah ditamatkan sebaik sahaja masuk waktu Isyak.
"Mana-mana aktiviti pengimarahan lain adalah tidak dibenarkan seperti kuliah
subuh, kuliah dhuha dan sebagainya.
"Mana-mana individu yang disahkan positif COVID-19 atau yang baharu
sembuh COVID-19 atau yang mempunyai gejala demam, batuk atau sesak nafas adalah dilarang menghadiri semua aktiviti di masjid /surau.
"Warga emas, mana-mana individu berisiko terhadap jangkitan COVID-19
(seperti mempunyai penyakit kronik, sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, asma dan lain-lain) dan kanak-kanak yang berumur 15 tahun ke bawah adalah dinasihat tidak hadir ke masjid/ surau," katanya.
Beliau berkata, jemaah hendaklah mengambil wuduk di rumah sebelum pergi ke masjid/ surau, membawa sejadah sendiri atau alas sujud dan menggunakan penutup muka dan hidung (mask) sepanjang berada di masjid/ surau.
"Selain itu, tida perlu bersesak-sesak untuk masuk dan keluar masjid/ surau dengan
menjaga jarak sosial (1 meter) dan juga di tempat wudhuk serta tandas.
"Mendaftar butiran peribadi dalam buku rekod khas yang disediakan oleh JKP; mencuci tangan menggunakan hand sanitizer yang disediakan; mengambil berat aspek kebersihan semasa berada di masjid/ surau; tidak menyentuh pintu, tombol pintu, susur tangan (handrail), besi jeriji keselamatan (safety grill), suis-suis elektrik, tabung infaq, mikrofon atau mana-mana peralatan yang lazim disentuh ramai; terus pulang sejurus selepas selesai solat dan doa; amalan bersalaman sepanjang berada di masjid adalah tidak dibenarkan; dan tidak dibenarkan untuk berkumpul atau beri’tikaf di dalam masjid/ surau sebelum dan selepas solat," katanya.